Rukun Negara
Bahawasanya Negara kita iaitu Malaysia mendukung cita-cita hendak:
- Mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakatnya.
- Memelihara satu cara hidup demokratik.
- Mencipta satu masyarakat adil di mana kemakmuran Negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama.
- Menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak.
- Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.
Maka Kami, rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan
usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas
prinsip-prinsip berikut:
- Kepercayaan Kepada Tuhan
- Kesetiaan Kepada Raja dan Negara
- Keluhuran Perlembagaan
- Kedaulatan Undang-undang
- Kesopanan dan Kesusilaan
Prinsip Rukun Negara telah diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan AgongSeri
Paduka Baginda Tuanku Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal
Abidin pada 31 Ogos 1970, iaitu sempena ulang tahun ke-13 kemerdekaan
Malaysia.
Kenapa Rukun Negara dibentuk?
Selepas Malaysia Merdeka dan negara mula dibangunkan, sedikit demi
sedikit terdapat jurang antara kemewahan bandar dan kemiskinan desa,
kemewahan orang bukan Melayu dengan kesempitan hidup orang Melayu yang
menyebabkan rasa tidak puashati di antara rakyat. Ini menyebabkan
beberapa kekacauan serta perbalahan yang melibatkan kaum berlainan
berlaku di beberapa kawasan di Tanah Melayu. Apabila berlakunya
peristiwa berdarah 13 Mei 1969, kerajaan melihat perlunya satu formula
untuk mengatasi masalah ini.
Di antara Objektif Rukun Negara adalah untuk mencapai perpaduan yang
lebih erat di kalangan seluruh masyarakat, mencipta satu masyarakat yang
adil supaya kemakmuran negara dapat dinikmati bersama secara adil dan
saksama.
Majlis Perundangan Negara yang dipengerusikan oleh Allahyarham Tun Abdul
Razak bin Hussein (merangkap Pengarah MAGERAN) telah ditubuhkan di
bawah Undang-undang Darurat yang diwartakan pada 29 Januari 1970, hasil
daripada mesyuarat MAGERAN yang mentadbir negara ketika itu. Ianya di
anggotai oleh Pengerusi, tiga orang menteri (Allahyarham Tun Dr. Ismail
bin Dato' Abdul Rahman, mendiang Tun Tan Siew Sin dan mendiang Tun V.T
Sambanthan ), wakil-wakil kerajaan negeri dan wakil-wakil daripada parti
politik.
Majlis Perundingan Negara bertanggungjawab menjadi pemikir dalam
merangka perpaduan negara dan mencari satu cara yang mampu untuk
mengatasi garis pemisah antara kaum. Dengan itu, maka lahirnya satu
ideologi kebangsaan yang baru iaitu Rukun Negara yang digubal sebagai
falsafah negara dan pendekatan baru ke arah mewujudkan sebuah negara
bangsa yang stabil. Selain itu, Majlis Perundangan Negara juga mula
menggunakan tema untuk menyambut kemerdekaan pada setiap tahun sebagai langkah mengekalkan semangat cintakan negara dan memupuk keharmonian kaum.
Penjelasan Maksud 5 Prinsip Rukun Negara
a) Kepercayaan kepada Tuhan
Bangsa dan Negara ini telah diwujudkan atas kepercayaan yang kukuh
kepada Tuhan. Melalui kepercayaan beragama inilah akan menjadikan bangsa
dan negara ini sebagai satu bangsa dan negara yang berdaulat.
Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam ialah agama rasmi
Persekutuan, tetapi agama dan kepercayaan-kepercayaan lain boleh
diamalkan dengan aman dan tenteram di mana-mana bahagian di dalam
Persekutuan dan tindakan membeza-bezakan terhadap seseorang warganegara
atas alasan agama adalah dilarang sama sekali.
Malaysia mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja
Berpelembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai
Ketua Negara. Selaras dengan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai
Raja mengikut Perlembagaan, sistem beraja juga diamalkan di setiap
negeri, dan Yang Di-Pertua Negeri bagi negeri-negeri yang tidak beraja.
Seri Paduka Baginda, Raja-Raja dan Yang Di-Pertua Negeri adalah
merupakan lambang perpaduan rakyat.
Kesetiaan kepada Raja dan Negara bermaksud, bahawa setiap warganegara
hendaklah menumpukan sepenuh taat setia, jujur dan ikhlas kepada Seri
Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Di peringkat negeri pula, rakyat
dikehendaki menumpukan taat setia kepada raja yang memerintah negeri
tempat mereka bermastautin tanpa mengurangkan taat setia kepada Yang
di-Pertuan Agong.
Prinsip ini menekan perlunya rakyat menerima, mematuhi dan
mempertahankan keluhuran Perlembagaan Negara. Perlembagaan
Negara adalah sumber perundangan yang tertinggi. Fungsinya untuk
memberi perlindungan kepada setiap rakyat negara ini akan hak dan
keistimewaan mereka sebagai warganegara. Setiap warga negara Malaysia
dikehendaki menghormati, menghargai, serta memahami maksud dan kandungan
serta latar belakang sejarah pembentukan Perlembagaan Negara.
d) Kedaulatan Undang-Undang
Keadilan diasaskan atas kedaulatan undang-undang di mana setiap rakyat
sama tarafnya di sisi undang-undang negara. Kebebasan asasi terjamin
bagi semua warganegara Malaysia. Undang-undang negara berasaskan kepada
Perlembagaan. Oleh itu kedaulatannya perlu diterima dan dipertahankan.
Tanpa undang-undang, hidup bermasyarakat dan bernegara tidak aman dan
stabil. Oleh itu undang-undang negara dijamin pula oleh institusi
kehakiman yang bebas dan berwibawa. Setiap negara memerlukan
undang-undang untuk mengawal dan mewujudkan satu masyarakat yang aman,
stabil dan makmur. Kewujudan undang-undang akan menjamin kehidupan
anggota masyarakat dapa bergerak dengan licin dan teratur tanpa sebarang
kekacauan, di mana semua anggota masyarakat akan merasas selamat.
Hak-hak semua rakyat boleh diamalkan dengan bebas asalkan tidak
melanggar undang-undang serta perkara-perkara sebagaimana yang dijamin
oleh Perlembagaan Negara. Hak-hak dari kebebasan yang ijamin oleh
Perlembagaan itu tidaklah termasuk hak menggulingkan kerajaan sama ada
dengan kekerasan atau dengan cara-cara yang tidak menurut Perlembagaan.
e) Kesopanan dan Kesusilaan
Menekankan perkembangan personaliti dan tingkah laku
seseorang rakyat. Tujuannya ialah untuk membentuk warga negara yang
bersopan santun dan bersusila selaras dengan kempen Budi Bahasa dan
Nilai Murni yang dijalankan sekarang. Sifat individu yang bersopan
santun dan bersusila adalah paling bermakna dan amat penting dalam
konteks perhubungan antara satu sama lain dalam masyarakat pelbagai kaum
di negara ini.
No comments:
Post a Comment